Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:46pm
Ameer Ali (dua, kiri) melawat rumah Maznah (tiga, kanan), yang rosak akibat tempias taufan Lekima baru-baru ini di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, hari ini. - Foto BERNAMA

Warga emas tabah rumah dilanda ribut

KUALA SELANGOR: Sehari sebelum Aidiladha Ahad lalu, warga emas, Maznah Sanusi diduga apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan ribut pada awal pagi, kesan Taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Biarpun wanita berusia 61 tahun yang tinggal seorang diri itu terpaksa berdepan dugaan sedemikian, Maznah masih mampu tersenyum dan bersyukur.

Katanya, beliau bernasib baik kerana masih boleh tinggal dalam rumah kayu miliknya hasil peninggalan suaminya sedekad lalu di Tanjong Karang, yang terletak di tengah-tengah sawah.

Maznah berkata, ketika kejadian, beliau dikejutkan kira-kira jam 2 pagi oleh bunyi angin yang kuat.

“Saya amat takut kerana ia sangat kuat, menyebabkan saya berdoa. Ribut itu reda sebelum angin kuat kembali bertiup. Saya segera berlari ke rumah jiran untuk berlindung.

“Saya pulang ke rumah pada jam 5 pagi dan mendapati bumbung zink di bahagian dapur tercabut diterbangkan angin. Saya bersyukur terselamat,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Maznah menyambut Aidiladha di rumah anak perempuannya di Meru, Klang.

Hari ini, Kerajaan Persekutuan dan negeri memulakan penilaian terhadap rumah yang terjejas di lima negeri ekoran kesan Taufan Lekima minggu lalu.

Pegawai Khas (Ekonomi) kepada Timbalan Perdana Menteri, Ameer Ali Vali Mohamed, berkata beberapa pasukan dikerahkan ke Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bermula hari ini hingga Jumaat untuk meninjau kawasan terjejas.

Pasukan itu, katanya, diketuai pegawai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah.

Terdahulu, ketika taklimat, Ameer Ali berkata Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Sabak Bernam sudah menjalankan penilaian semalam membabitkan kerugian dialami 443 buah rumah rosak di Sabak Bernam dan 45 lagi di Kuala Selangor, dalam kejadian itu.

“Penilaian terhadap rumah ini dikategorikan sebagai kritikal, separuh kritikal dan kecil. Kita bernasib baik tiada kecederaan dilaporkan mahupun kemalangan jiwa,” katanya.

Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Zary Affendi Mohd Arif, berkata Jabatan Kejuruteraanya memulakan proses penilaian semalam di 45 rumah yang terjejas di Bestari Jaya, Jeram, Tanjong Karang, Ijok dan Hujung Permatang.

Katanya, penilaian itu perlu disahkan oleh ketua kampung terbabit bagi mengelakkan tuntutan palsu atau bantuan bertindan daripada agensi kerajaan.

“Anggaran kerugian serta data lain yang dikumpulkan daripada proses penilaian ini akan diserahkan kepada Majlis Tindakan ekonomi Negeri Selangor (MTES) esok. Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Beliau akan membuat pengumuman mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa untuk mereka membaiki kediaman masing-masing,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial, Mohd Khairi Abd Ghani.

Mohd Khairi berkata, kerajaan juga akan menyerahkan bantuan antara RM200 hingga RM500 kepada setiap keluarga.

254 dibaca
Berita Harian X