Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:11pm
ORANG Asli turut diajar melapah lembu korban pada Program Korban Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis. - Foto Ramli Ibrahim

3,200 Orang Asli menerima agihan daging korban

GUA MUSANG: Seramai 3,200 keluarga Orang Asli di 19 pos membabitkan 114 kampung di negeri ini menerima agihan daging lembu korban, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman berkata, ia membabitkan 55 ekor lembu masing-masing 35 ekor disumbangkan oleh Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, manakala 12 ekor pula sumbangan MAIK.

Katanya, turut menyumbang lembu ialah Masjid Abu Bakar Al-Sidiq Bangsar, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan orang perseorangan.

“Hari ini jumlah ternakan untuk korban sebanyak 35 ekor, dan 20 ekor korban pada hari pertama Aidiladha.

“Program ini disertai bersama kaum Orang Asli bermula dari menyembelih, melapah dan memproses ketulan daging sebelum diagihkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Korban Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis.

Menurutnya, matlamat pihaknya untuk mendidik kaum berkenaan melakukan ibadah korban yang mendapat sambutan daripada penduduk setempat, termasuk Orang Asli dari Kampung Sungai Rual, Jeli.

“Kita akan terus melatih Orang Asli dalam mengerjakan ibadah korban dan mengajar lebih ramai guru agama MAIK daripada kalangan mereka supaya pandai menyembelih lembu.

“Apabila semuanya sudah tahu dan pandai mengerjakan ibadah korban, maka tahun akan datang kita boleh serahkan semua program terbabit kepada mereka,” katanya.

Berita Harian X