Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:06pm
BEBERAPA muka sauk atau sumber air loji rawatan air di negeri ini dikenal pasti mengalami penurunan ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal bulan lalu. - Foto Hiasan

Sumber air loji rawatan di Johor mengalami penurunan

JOHOR BAHRU: Beberapa muka sauk atau sumber air loji rawatan air di negeri ini dikenal pasti mengalami penurunan ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata fenomena cuaca kering yang bermula bulan lalu mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot di kebanyakan tempat.

Katanya, ia boleh menyebabkan beberapa loji rawatan air tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

“Walaupun secara purata pada masa ini kebanyakan sumber air mentah yang diterima di 44 loji rawatan air membolehkan loji masih beroperasi seperti biasa, namun ada sebahagian muka sauk yang mengalami sedikit penyusutan akibat cuaca kering dan mungkin boleh mengalami kekurangan sumber sekiranya ia berlarutan untuk tempoh yang lama.

“Paras semasa muka sauk bagi loji rawatan air Lok Heng dekat Kota Tinggi petang semalam menunjukkan kemerosotan mendadak sehingga ke paras amaran 0.93 meter berbanding pada paras normal 2.75 meter.

“Sungai Sedili Kecil yang juga sumber bekalan air mentah bagi loji berkenaan mula mengalami kemerosotan sejak dua minggu lalu dan keadaan ini berterusan sehingga semalam,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Sementara itu, Jimmy berkata, pihak pengendali air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) mengemukakan cadangan bekalan air berjadual bagi kawasan terbabit kerana loji sudah tidak boleh beroperasi secara normal.

Katanya, permohonan untuk melaksanakan bekalan air berjadual sudah dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kelulusan.

“Namun ia bergantung kepada paras air mentah yang mencukupi untuk loji terus beroperasi.

“Loji rawatan air Lok Heng ini menyalurkan bekalan air terawat kepada kira-kira 4,000 akaun pengguna di kawasan FELDA Bukit Waha, FELDA Bukit Easter, FELDA Simpang Waha, FELDA Lok Heng Barat, FELDA Lok Heng Timur, FELDA Lok Heng Selatan dan Bukit Tentera.

“Paras Empangan Lebam pula pada masa ini berada di bawah paras kritikal, namun loji masih mampu beroperasi secara normal.

“Bagi daerah Muar, cuaca kering yang sedang berlaku pada masa ini menyebabkan paras air di muka sauk sepanjang Sungai Muar menghampiri paras amaran di mana muka sauk ke loji Bukit Serampang mengalami kemerosotan paling ketara.

“Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa sungai di Segamat dan empangan Gunung Pulai dekat Pontian yang menjadi sumber air minum untuk sebahagian penduduk Johor Bahru dan Pontian,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan negeri bersama Ranhill SAJ mengambil langkah berjaga-jaga memantau situasi berkenaan dengan kerjasama pihak agensi berkaitan.

“Orang ramai di negeri ini dinasihatkan supaya mengambil pendekatan tidak membazirkan penggunaan air bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya.

329 dibaca
Berita Harian X