Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:31pm
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto L Manimaran

Sarawak yakin capai sasaran lima juta pelancong

KUCHING: Sasaran menggamit kedatangan lima juta pelancong ke negeri ini mampu dicapai walaupun levi pelepasan udara akan dilaksanakan bermula bulan depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan negeri beranggapan pengenalan levi itu adalah cabaran, namun ia diyakini tidak menjejaskan kempen Tahun Melawat Sarawak 2019.

“Sehingga kini, negeri ini mencatat peningkatan 4.58 peratus atau 2.23 juta kedatangan pelancong bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Ini menunjukkan pertambahan memberangsangkan berbanding 2.1 juta pelancong bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus memberi penunjuk positif ke arah sasaran lima juta pelancong,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, Sarawak mampu mencapai sasaran itu melalui promosi kempen agresif yang sedang dilaksanakan Sarawak Tourism Board (STB).

“Pengukuhan jenama Sarawak melalui usaha sama dengan sektor swasta dan syarikat penerbangan tambang murah tempatan seperti AirAsia adalah langkah proaktif negeri ini demi memastikan negeri ini menjadi pilihan destinasi utama untuk dilawati di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, paparan promosi berkenaan Sarawak di bahagian depan bagasi penumpang memudahkan penumpang dari Asia melihat keunikan Sarawak.

“Kita menumpukan kepada kedatangan pelancong di Asia pula selepas mengambil kira kuasa beli mereka yang semakin tinggi, terutama dari China,” katanya.

71 dibaca
Berita Harian X