Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:46am
PEGAWAI Penyiasat Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang, Mohd Affendy Abdul Manap menunjukkan alat mencandat sotong yang dirampas. - Foto Mohd Rafi Mamat

Buru nelayan candat sotong tanpa lesen

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap nelayan yang melakukan aktiviti menangkap sotong tanpa lesen di perairan negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman, berkata nelayan tempatan yang melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong perlu memiliki lesen dikeluarkan pihaknya

Katanya, pihak yang tidak memiliki lesen akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985 dan jumlah kompaun akan ditentukan pihak mahkamah.

“Jabatan sentiasa memandang serius kegiatan menangkap sotong tanpa lesen di perairan negeri ini, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka jika terbukti melanggar peraturan ditetapkan.

“Rondaan pasukan perlindungan sumber jabatan dilakukan secara berjadual membabitkan beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti mencandat sotong,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, bulan lalu pihaknya menahan dua bot nelayan tempatan dilengkapi 80 alat mencandat sotong bersama 16 awak-awak warga Vietnam di perairan dekat Tanjung Sekukuh, Pekan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan didaftarkan di Pekan, namun tidak memiliki lesen melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong.

Azahari berkata, dia sudah mengarahkan Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang supaya lebih kerap melakukan rondaan, terutama di perairan Pekan yang menjadi tumpuan nelayan asing menangkap hasil laut.

“Kita meminta kerjasama nelayan tempatan untuk memberi maklumat bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

292 dibaca
Berita Harian X