Isnin, 12 Ogos 2019 | 10:48am
SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menyempurnakan ibadah korban pada Majlis Qurban Hari Raya Aidiladha di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Sultan Kelantan berkenan sertai majlis korban

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Majlis Qurban Hari Raya Aidiladha, di sini hari ini bagi menyempurnakan ibadah korban membabitkan 39 lembu.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, dan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V yang mengenakan jaket hitam dan bertopi turut berkenan menyembelih dua lembu baka Charolais seberat kira-kira 500 kilogram (kg) seekor.


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menyempurnakan ibadah korban pada Majlis Qurban Hari Raya Aidiladha di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Baginda meluangkan masa lebih 30 minit bersama-sama hampir 500 penduduk pada majlis ibadah korban itu sebelum berangkat pulang, pada jam 9.45 pagi tadi.

Tengku Muhammad Rizam yang juga Yang Dipertua MAIK, berkata ibadah korban perdana kali ini membabitkan 39 lembu untuk diagihkan kepada 1,500 fakir miskin, di daerah ini.

“Setiap penerima akan mendapat 2.5 kg daging serta tulang. Pengagihan akan diadakan mulai petang ini di dua lokasi, iaitu Masjid Panji dan Masjid Muhammadi,” katanya.

Katanya, pada 14 Ogos ini, MAIK juga akan mengadakan korban perdana membabitkan 30 lembu di perkampungan Orang Asli Kuala Betis, Gua Musang.

Berita Harian X