Ahad, 11 Ogos 2019 | 3:13pm
PANGLIMA Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain (tengah) menyempurnakan Ibadah Qurban/Aqiqah 1440H pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Ibadah Qurban/Akiqlkah 1440H/2019M Peringkat Zon Kuching di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, Kuching. NSTP/L Manimaran

Tentera jayakan ibadah korban

KUCHING: Sambutan Aidiladha di Sarawak diraikan sederhana dalam keadaan cuaca panas dan berjerebu, hari ini.

Umat Islam melaksanakan ibadah korban sebaik selesai solat sunat Aidiladha di masjid dan surau di seluruh negeri.

Tidak ketinggalan, Markas Pemerintahan Medan Timur, Tentera Darat Malaysia (PMTTDM) yang turut melaksanakan ibadah korban di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, di sini.

Majlis yang dihadiri Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain serta pegawai kanan ketumbukan TDM wilayah timur itu bermula sebaik selesai solat.

Sebanyak tujuh lembu dan dua kambing dikorbankan pada majlis itu.

Jurucakap PMTTDM berkata, daging korban itu kemudiannya diagihkan kepada anggota tentera yang bertugas di wilayah ini.

“Selain itu, daging korban juga diagihkan golongan asnaf kalangan orang awam yang tinggal berdekatan dengan Kem Penrissen,” katanya.

Katanya lagi, ibadah korban adalah aktiviti tahunan PMTTDM dan ia dilakukan secara bergotong royong oleh anggota.

Berita Harian X