Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:23am
SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan bersalaman dengan para jemaah ketika hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi, pagi ini. - Foto BERNAMA

Sultan Kelantan tunai solat sunat Aidiladha

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Muhammadi, di sini, pagi ini.

Baginda tiba di masjid pada jam 8.05 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, dan Tengku Temenggong, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Imam Tua Masjid Muhammadi, Rosli Che Soh, manakala khutbah dibacakan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah.

Selesai solat, baginda yang berpakaian jubah putih mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat ke Istana Negeri, Kubang Kerian.

Muhammad Hana ketika menyampaikan khutbahnya berkata, semua umat Islam dilarang melakukan perbalahan sesama sendiri sehingga menyebabkan perpecahan kerana permusuhan itu tidak boleh diterima akal.

“Umat Islam perlu mendidik diri kita menjadi lebih matang dan mampu menghadapi pelbagai cabaran tanpa mengundang kepada perpecahan.

“Ini kerana, Islam benci perpecahan dan permusuhan. Perpaduan mempunyai banyak faedah antaranya mampu menjadi benteng kepada perpecahan,” katanya.

1005 dibaca
Berita Harian X