Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:15pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (dua dari kiri) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk James Chan (kanan) merasmikan simbolik perasmian sempena majlis ulangtahun Bandaraya Kuching yang ke 31 di Dewan Majma Kompleks Islam, Kuching. NSTP/Hazreen Mohamad

Sarawak bangunkan perumahan pinggir bandar

KUCHING: Sarawak memberi tumpuan untuk membangunkan lebih banyak perumahan baharu di kawasan pinggir bandar raya Kuching bagi menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata langkah itu juga selari dengan budaya baharu apabila ramai yang memilih tinggal di bandar sepanjang hari bekerja tetapi akan pulang ke kampung halaman pada hujung minggu atau hari kelepasan am.

Justeru, katanya, pelan perlu dirangka dengan teliti bagi memastikan agenda pembangunan baharu bagi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menepati kehendak semasa.

“Saya percaya dalam tempoh 30 tahun akan datang, kita akan menghadapi cabaran baharu disebabkan pertambahan penduduk, sebab itu kini kita memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan pinggir bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching ke-31 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar MBKS, Datuk James Chan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kawasan perumahan baharu itu dirancang dibuka antara Samariang hingga Matang, Batu Kawah ke Bau dan Lundu hingga Sematan.

Selain itu, kata beliau, usaha sedang dijalankan bagi membangunkan Sistem Aliran Autonomi (ART) bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.

Beliau berkata pelaksanaan ART tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT).

“ART tidak memerlukan landasan seperti LRT kerana ia mempunyai peranti yang boleh membaca laluan,” katanya yang turut memaklumkan rancangan pelaksanaan ART itu adalah yang pertama di negara ini.

92 dibaca
Berita Harian X