Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:02pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau (tengah) melawat ruang pameran selepas merasmikan Persidangan dan Bengkel Lebah Kelulut Antarabangsa Kedua (ISCBW) di Hotel TH. NSTP/Khairull Azry Bidin.

Kerajaan Sabah bantu bangunkan industri penternakan lebah kelulut

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membantu membangunkan industri penternakan lebah kelulut bagi menjadikannya sumber pendapatan baharu, sekali gus memenuhi permintaan orang ramai terhadap produk berasaskan madu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usaha itu juga sejajar langkah mentransformasi sektor pertanian melalui pemodenan dan pengkomersialan industri yang membabitkan keseluruhan proses bekalan serta rangkaian nilai.

“Permintaan terhadap madu dan produk berasaskannya serta perkhidmatan daripada aktiviti penternakan lebah kelulut, perlu terus diterokai dan dihubungkan dengan pengurusan berkonsepkan rantaian bekalan.

“Madu lebah kelulut disenaraikan sebagai ‘superfood’ oleh Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan permintaan orang ramai terus meningkat sejajar kesedaran terhadap kebaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, pada Majlis Perasmian Persidangan dan Bengkel Lebah Kelulut Antarabangsa Kedua (ISCBW), di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan (IIPM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden IIPM, Prof Adjung Datuk Daud Amatzin, dan Pengerusi Penganjur ISCBW, Halid Hasbullah Boestamam.

Mohd Shafie berkata, kaedah baharu penternakan lebah kelulut yang dikembangkan MARDI pada 2004, menawarkan banyak peluang untuk penduduk mengusahakannya sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

Bagaimanapun, katanya, usaha membangunkan industri penternakan lebah kelulut berdepan pelbagai cabaran, termasuk masalah berkaitan lebah yang diternak, kualiti madu dihasilkan, harga madu tinggi dan ketiadaan badan pemantau penternakan lebah.

Beliau berkata, kaedah menangani cabaran itu diharap dapat diperoleh menerusi perbincangan dalam kalangan peserta ISCBW.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak penganjur menggariskan beberapa isu yang bukan saja dapat membantu merealisasikan masa depan industri lebah kelulut di Malaysia, malah mewujudkan ekonomi negara yang stabil, makmur dan sangat berdaya saing, daripada pasaran tunggal serta berasaskan pengeluaran kepada ekonomi dinamik pada peringkat global.

“Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan profesional amat penting bagi memastikan kelestarian serta keuntungan industri lebah kelulut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan itu yang dihadiri kira-kira 100 peserta, termasuk dari beberapa negara lain seperti Filipina, Indonesia serta Brazil, menjadi landasan untuk bertukar idea dan pengetahuan berkaitan pembangunan industri lebah kelulut, selain tempat bagi golongan penyelidik menerokai peluang penyelidikan baharu.

406 dibaca
Berita Harian X