Selasa, 30 Julai 2019 | 3:44pm
Ewon (kiri) beramah mesra dengan tetamu pada majlis Hari Keluarga UPKO Bahagian Kota Belud, di Kota Belud. - Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Tindakan tegas penjawat awam salah guna kuasa

KOTA BELUD: Tindakan tegas harus diambil terhadap sindiket yang menggunakan dokumen dan cop palsu bagi meluluskan permohonan sijil lahir dan kad pengenalan warganegara Malaysia di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata, rakyat di negeri ini dikejutkan dengan penahanan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang cuba memberi dokumen kenegaraan kepada warga asing secara haram.

Katanya, pembabitan kakitangan jabatan itu dalam sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri adalah satu jenayah dan pencabulan kepada kedaulatan negara.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terbabit kerana ia bukan sahaja memburukkan imej penjawat awam tetapi melanggar undang-undang negara.

“Tindakan tegas harus diambil kerana ia membabitkan risiko keselamatan kepada pencabulan kedaulatan melalui pemberian dokumen kenegaraan secara haram dan ini sama bahayanya dengan insiden pencerobohan bersenjata yang pernah berlaku di Tanduo, Lahad Datu, beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Keluarga Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ewon berkata, polis perlu menyiapkan kertas siasatan dengan segera supaya kes itu dibawa ke muka pengadilan dan semua yang terbabit dalam sindiket ini dikenakan hukuman sewajarnya.

“Sebagai warga Sabah, mereka sepatutnya mempunyai tanggungjawab memastikan kedaulatan negara terus terjamin.

“Kalau kita mahukan Sabah bebas dari pendatang asing tanpa izin (PATI), maka kita jadilah sebahagian daripada penyelesaian masalah itu.

“Masalah PATI di Sabah adalah isu yang kompleks tetapi perlu ditangani dan diselesaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri turut mempengerusikan beberapa mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipercayai turut menyentuh berhubung masalah PATI di negeri ini.

“Dalam sesi Libat Urus Pra-Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada Jumaat lalu, turut dimaklumkan berhubung 28 peratus penduduk adalah bukan warganegara di Sabah.

“Ini satu angka yang amat membimbangkan dan boleh menjadi bom jangka di negeri ini, jika tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Polis semalam mendedahkan tiga tangkapan termasuk seorang kakitangan JPN yang cuba menggunakan dokumen dan cop palsu bagi permohonan dokumen pengenalan diri di negeri ini.

Berita Harian X