Ahad, 28 Julai 2019 | 8:06pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (dua dari kanan) melakukan lawatan kerja melawat tiga kawasan hutan lipur di daerah Setiu. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Taman tema air RM4 juta di Setiu

PERMAISURI: Bandar ini bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan apabila kerajaan negeri meluluskan kerja pembinaan taman tema air bernilai lebih RM4 juta berhampiran Peladang Setiu Agro Resort, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan sudah meluluskan kerja pembinaan taman tema air itu sejak dua bulan lalu.

“Lokasi projek ini sangat menarik kerana terletak di atas bukit dan Peladang Setiu Agro Resort. Apabila projek ini siap kelak, daerah Setiu akan menjadi satu lagi destinasi agro pelancongan utama.

“Setiu juga boleh dianggap sebagai pintu pelancongan kepada Terengganu,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja melawat tiga kawasan hutan lipur di daerah Setiu, di sini, hari ini.

Taman tema air itu dibangunkan di atas tanah seluas empat hektar dan dijangka siap akhir 2020. Ia juga dijangka menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan peniaga setempat.

Sementara itu, Ariffin berkata, Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bertanggungjawab memastikan kawasan hutan lipur dan air terjun terpelihara daripada sebarang pencemaran dan kerosakan.

“MPKK perlu membuat laporan segera jika berlaku kes air terjun keruh dan tercemar dengan keladak di kawasan mereka kepada pihak berwajib.

“Kita tidak mahu kejadian Air Terjun Lasir di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, keruh dan berkeladak akibat aktiviti pembalakan hutan berulang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga meluluskan Bantuan Am berjumlah RM60,000 untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan asas seperti tandas dan surau di Hutan Lipur Lata Chakah dan Hutan Lipur Lata Payung, di sini.

“Kerja baik pulih itu akan dilakukan secara gotong-royong bersama MPKK dan jabatan kerajaan berkaitan serta dijangka mengambil masa dua minggu untuk siap,” katanya.

792 dibaca
Berita Harian X