Khamis, 25 Julai 2019 | 8:15am

Bekalan air sudah pulih - Air Selangor

SHAH ALAM: Bekalan air di tujuh kawasan yang terjejas akibat gangguan tidak berjadual susulan pencemaran diesel di Sungai Selangor pada petang Ahad lalu, sudah pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata ia membabitkan kawasan di Petaling; Klang serta Shah Alam; Kuala Lumpur; Gombak; Kuala Selangor; Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Katanya, pemulihan itu lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini, iaitu pada Sabtu 27 Julai.

“Keprihatinan semua pelanggan dan pengguna yang terjejas dalam memberikan kerjasama sepanjang pihak kami melaksanakan proses pemulihan bekalan ekoran insiden pencemaran air mentah dan henti tugas loji-loji utama ini, amatlah dihargai.

“Air Selangor merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), operator-operator air dari negeri lain serta semua yang terbabit dan bersama-sama menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan serta pemulihan bekalan.

“Mohon maaf atas segala kesulitan dan pihak kami ingin mengambil perhatian semua pihak untuk bersama menjaga sumber air dan menggunakan air dengan berhemat dan elakkan pembaziran,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual pada Ahad lalu yang kedua dalam tempoh seminggu selepas pencemaran bau pada Jumaat minggu lalu yang memaksa operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), SSP2 dan SSP3 serta Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Lebih sejuta akaun di tujuh wilayah terjejas ekoran kedua-dua pencemaran yang berlaku itu.

Isnin lalu, dalam satu sidang media di LRA SSP2, di Bukit Badong, Ijok, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan perbuatan khianat dipercayai punca pencemaran minyak diesel ke dalam Sungai Selangor, dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.

Katanya, ekoran perbuatan itu, sejumlah 100 liter minyak terlepas ke dalam aliran Sungai Selangor yang kemudian dikesan oleh Air Selangor di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang.

Berita Harian X