Rabu, 24 Julai 2019 | 9:36pm
AHMAD Samsuri berucap di perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal, Kuala Nerus di Dewan Serbaguna Kg Tok Jembal, Kuala Nerus. NSTP/Imran Makhzan.

Siasat dakwaan pembalakan haram punca kemunculan Harimau Malaya

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujudnya projek pembalakan dan perlombongan haram di Bukit Besi, Dungun, mengundang kehadiran Harimau Malaya di kawasan perkampungan penduduk di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya perlu mendapatkan maklumat daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perhutanan, sebelum membuat kesimpulan.

“Pihak PERHILITAN sedang menjalankan kajian terhadap harimau terbabit dan sampel darah juga sudah dihantar, namun keputusan belum diperoleh. Jadi kita perlu menunggu keputusan untuk mengetahui sebab keadaan itu timbul.

“Biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka sebelum kita membuat kesimpulan,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengambil berat terhadap isu pembalakan dan perlombongan dengan memastikan pihak diberi lesen mematuhi kriteria dan peraturan ditetapkan.

“Pembalakan dan perlombongan haram serta kehadiran harimau itu adalah dua isu berbeza, namun kita serah kepada PERHILITAN dan Jabatan Perhutanan sebelum langkah seterusnya boleh dibuat,” katanya.

Baru-baru ini gempar apabila Harimau Malaya yang diberi jolokan Awang Besul muncul berkeliaran di kawasan penempatan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun.

Hasil operasi PERHILITAN, harimau terbabit berjaya ditangkap dan dihantar untuk dirawat serta dikuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC), Sungkai, Perak, namun disahkan mati kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

PERHILITAN melalui satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan virologi diterima Isnin lalu menunjukkan Awang Besul positif ‘Virus Canine Distemper’ melalui ujian RT-PCR.

Berita Harian X