Rabu, 24 Julai 2019 | 4:11pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming menunjukkan tweet yang dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang didakwa menghina dewan selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Zambry, Khusairi digesa mohon maaf kepada Speaker DUN - Kor Ming

IPOH: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, didesak memohon maaf kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana membuat hantaran yang didakwa menghina melalui Twitter, semalam.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata Zambry yang juga ADUN Pangkor dalam ciapannya, melemparkan tuduhan dengan mendakwa usul semua ADUN dikehendaki mengisytiharkan harta yang diluluskan semalam sebagai hari terburuk dalam sejarah sidang DUN Perak.

Beliau yang juga ADUN Aulong, berkata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Ko Ham membaca ciapan itu dan mendakwa Zambry melemparkan fitnah terhadapnya.

“Jelas sekali usul semalam yang dibahas dan diluluskan oleh Dewan Yang Mulia adalah usul yang diluluskan DUN dan tidak pernah pun diluluskan oleh Speaker.

“Oleh sebab itu, saya memohon Zambry dan Khusairi memohon maaf kepada Dewan Yang Mulia dalam tempoh 24 jam jika mereka tidak menafikan ini adalah ciapan mereka. Saya cadangkan apalah sudinya mereka mohon maaf,” katanya pada sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini hari ini.

Kor Ming berkata, tindakan Zambry dan Khusairi itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan hukuman setimpal boleh dikenakan atas kelakuan mereka kerana menghina DUN.

Katanya, terpulang kepada Speaker DUN untuk menerima permohonan maaf mereka dan sekiranya tiada permohonan maaf, tindakan berdasarkan kepada lunas undang-undang wajar diambil.

Zambry menerusi di Twitter semalam, berkata `Hari terburuk dlm sejarah Sidang DUN Perak bila Speaker buat keputusan utk usul isytihar harta kpd nya. Kami berhujah utk isytihar kpd SPRM bukan kpd Speaker sbb dia org politik. Malah kami syorkan by-partisan comm utk bincang bersama. Semuanya dilanggar dgn cara seorg diktator’.

Ciapan itu turut dikongsi dan diulang kicau oleh Khusairi hingga menimbulkan rasa tidak senang Speaker dan ADUN kerajaan.

Berita Harian X