Selasa, 23 Julai 2019 | 5:17pm
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. - Arkib NSTP

Galakkan majikan sediakan pusat jagaan kanak-kanak

KUCHING :Bebanan ibu bapa bekerja untuk menampung kos penjagaan anak mereka yang masih kecil mampu dikurangkan jika majikan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata langkah itu dialu-alukan terutama di bandar utama di mana kos penjagaan anak di Taska semakin tinggi.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan langkah itu dan berharap lebih ramai majikan menyediakan kemudahan itu sebagai antara tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.

“Kerajaan negeri memang menggalakkan majikan mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

“Langkah itu sebenarnya menghasilkan keadaan menang-menang untuk majikan dan pekerja mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fatimah berkata beban mungkin kurang dirasai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Taska kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kerana caj yang dikenakan adalah yang paling rendah.

“Caj itu pun bukan yuran sebenarnya, tetapi adalah sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Tetapi bagi Taska swasta, mereka perlu membayar gaji pengasuh, sebab itulah yuran dikenakan bagi menampung kos operasi itu,” katanya.

Kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi, dikenal pasti antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun hingga ramai terjerat masalah hutang.

Justeru, kata Fatimah, majikan perlu memikul tanggungjawab untuk membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa bekerja.

38 dibaca
Berita Harian X