Isnin, 22 Julai 2019 | 9:15am
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor. - Foto BERNAMA

LRA kembali operasi jam 3.30 pagi

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi awal pagi ini selepas dihenti tugas susulan pencemaran diesel semalam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad, berkata semua LRA terbabit kembali beroperasi pada jam 3.30 pagi tadi.

“Kami masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

“Bantuan lori tangki digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, memandangkan insiden itu membabitkan gangguan berskala besar, pelanggan perlu mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili awam bagi mengelakkan kelewatan penghantaran bantuan lori tangki air.

“Kami dengan bantuan agensi berkaitan sedang berusaha sedaya upaya memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan terbabit.

“Bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami berikutan kemasukan panggilan yang tinggi, sila dapatkan maklumat dan status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

“Selain itu, pihak kami juga akan mengeluarkan makluman berhubung status terkini melalui kenyataan media,” katanya.

394 dibaca
Berita Harian X