Ahad, 21 Julai 2019 | 1:42pm
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim. - Foto Hafiz Sohaimi

Harimau akan jalani ujian untuk tentukan berpenyakit atau tidak

DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan beberapa ujian terhadap harimau yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, kelmarin, bagi mengenal pasti sama ada haiwan itu berpenyakit.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata harimau seberat 130 kilogram yang ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak, itu akan diambil contoh darah untuk dilakukan ujian.

Menurutnya, harimau itu perlu menjalani beberapa ujian dan dihantar ke makmal untuk diuji sama ada haiwan itu berpenyakit dan bagaimana ia boleh keluar daripada habitatnya.

“Paling cepat kita akan memperoleh hasil keputusan itu dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Katanya, sebanyak empat perangkap dengan menggunakan umpan kambing masih dipasang bagi mengesan seekor lagi harimau yang masih bebas.

“Kita teruskan usaha mengesan seekor lagi harimau ini dalam tempoh satu atau dua minggu lagi namun operasi itu akan dihentikan sekiranya kita gagal menemui haiwan terbabit dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati harimau atau haiwan ganas lain seperti gajah dan beruang sekiranya terserempak.

“Bukan saja di Dungun tetapi di lokasi lain. Jangan dekati haiwan itu biarpun ia kelihatan jinak kerana kita bimbang sifat jinak itu boleh bertukar ganas sehingga membahayakan nyawa,” katanya.

Berita Harian X