Jumaat, 19 Julai 2019 | 4:31pm

Gangguan bekalan air di Lembah Klang

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Lembah Klang dijangka berdepan dengan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah susulan henti tugas serta-merta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, SSP2 dan SSP3).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata henti tugas serta-merta itu berikutan pencemaran bau di sumber air mentah yang berlaku hari ini.

“Beberapa kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat dijangka akan terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah.

“Pihak kami akan mengemaskini maklumat terkini dan senarai kawasan yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata, usaha sedang diambil bagi mengatasi masalah ini dan pengguna diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat serta status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

5415 dibaca
Berita Harian X