Khamis, 18 Julai 2019 | 12:18am
KEMUNCULAN sepasang ikan paus berhampiran pelantar minyak Dulang, kira-kira 170 kilometer dari pesisir pantai Kerteh kelmarin. NSTP/Ihsan Pembaca

Paus muncul di perairan Dungun

CHUKAI: Kemunculan sepasang ikan paus berhampiran pelantar minyak Dulang, kira-kira 170 kilometer dari pesisir pantai Kerteh semalam direkodkan sebagai yang pertama di negeri ini.

Kehadiran pasangan paus dianggarkan seberat lima tan itu berjaya dirakam kakitangan PETRONAS yang sedang bekerja di pelantar berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan rakaman video berdurasi 30 saat itu yang merakamkan pergerakan paus itu adalah benar.

Menurutnya, pasangan paus itu dikenali sebagai paus pembunuh atau nama saintifiknya, Orcinus Orca yang berenang pada kedalaman antara 76 hingga 80 meter dan menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi.

“Berdasarkan rekod di FRI dan Jabatan Perikanan Malaysia, paus itu tidak pernah melalui perairan negeri ini dan tersenarai dalam jadual mamalia marin serta antara spesies marin terancam di Malaysia,” katanya.

Mohd Tamimi berkata, paus itu dikelaskan dalam kumpulan ikan lumba-lumba namun saiznya lebih besar daripada saiz lumba-lumba biasa.

Katanya, saiz biasa bagi dewasa adalah 4.50 meter dan boleh mencapai saiz sehingga lapan meter panjang dengan berat antara 3,000 kilogram (kg) hingga 6,000 kg.

“Jangka hayat paus pembunuh itu antara 50 tahun hingga 80 tahun dan usia kematangan paus betina antara 10 hingga 20 tahun sementara paus jantan pula antara 15 hingga 21 tahun,” katanya.

Katanya, paus pembunuh biasanya bergerak dan memburu dalam kumpulan antara dua hingga 50 ekor.

“Paus ini adalah pemangsa utama dalam rantaian pemakanan dan sangat digeruni,” katanya.

Katanya, spesis paus itu memburu dan memakan ikan, sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain antaranya seperti anjing laut, paus dan lumba-lumba.

“Adakalanya paus pembunuh ini juga memakan manusia seperti sesetengah video yang kita lihat di Facebook dan YouTube yang mana paus pembunuh ini menerkam manusia yang sedang mandi di pesisir pantai,” katanya.

Mohd Tamimi berkata, sesetengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti di The Marineland Antibes Theme Park Perancis, SeaWorld San Diego Carlifornia Amerika dan Seaworld Kamogawa Chiba, Jepun melatih paus pembunuh ini supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan dan pertunjukan.

“Di Malaysia, FRI Rantau Abang adalah Galeri Spesies Marin Terancam yang memberi pendidikan awam, konservasi dan mempamerkan pelbagai karkas dan rangka mamalia marin termasuk penyu,” katanya.

4012 dibaca
Berita Harian X