Rabu, 17 Julai 2019 | 8:48pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (tengah) pada sidang media selepas usul laporan kajian semula persempadanan bagi persekutuan dan negeri Sabah diluluskan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Khidmat terbaik buat rakyat Sabah - Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: Kelulusan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah akan menguntungkan rakyat negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata itu akan memberi peluang kepada wakil rakyat baharu menabur khidmat, manakala rakyat juga lebih dekat menyuarakan masalah.

Katanya, ketika ini ada kawasan pedalaman yang sukar diakses dan kurang mendapat perhatian wakil rakyat berikutan kedudukannya yang terlalu jauh.

“Usul ini amat penting buat rakyat Sabah kerana mereka menuntut untuk mempunyai perwakilan mencukupi. Bukan hanya supaya suara mereka didengari, tetapi juga perkhidmatan yang amat ditunggu.

“Walaupun kawasan penduduk tidak padat, tapi tempat jauh dan berbeza dengan kawasan lain.

“Justeru, mereka boleh diurus tadbir dan bukan ketika kita ada pilihan raya saja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Shafie berkata, pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membolehkan pentadbiran pilihan raya dapat diurus dengan baik.

“Ada faktor yang bukan hanya dari segi pengurusan pentadbiran, tetapi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat yang ada hak (mengundi).

“Hak mereka sebelum ini tidak mudah ditunaikan disebabkan kawasan agak jauh dan luas. Dengan adanya pertambahan kerusi ini, mereka mudah menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perubahan persempadanan ini dibuat atas beberapa asas dan bukan berkaitan bilangan pengundi, tetapi keluasan kawasan untuk ditadbir.

“Walaupun bilangan ahli parlimen tidak mencukupi, ada sesetengah kawasan parlimen akan ada dua, tiga malah empat DUN.

“Kita sedar bila pindaan persempadanan menerusi Parlimen, dia bukan hanya mengambil perundangan daripada dua pertiga (kelulusan DUN) tetapi keseluruhan perlu diambil perhitungan.

“Kalau diambil Sabah saja mungkin negeri lain akan persoalkan. Tetapi di peringkat Sabah, kita sudah 16 tahun tidak ada persempadanan semula dan Perlembagaan memberi peruntukan lapan tahun sudah boleh dibuat,” katanya.

Berita Harian X