Rabu, 17 Julai 2019 | 4:30pm

Penjara Marang bertaraf A

MARANG: Penjara Marang pernah ditegur Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) kerana kebersihan tidak memuaskan.

Hari ini, penjara itu diletakkan di bawah kategori A dalam aspek kebersihan.

Malah, Penjara Marang menjadi penjara pertama di Semenanjung Malaysia dan kedua selepas Penjara Tawau, Sabah, yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff, berkata hasil lawatan SUHAKAM dan ICRC setiap tahun, aspek kebersihan penjara itu yang kurang memuaskan sudah beberapa kali ditegur.

“Unit Sajian Penjara Marang menyediakan hidangan kepada 2,636 banduan setiap hari. Jadi, kami menyahut seruan pengurusan tertinggi Jabatan Penjara Malaysia supaya bahagian dapur sentiasa bersih.

“Bukan mudah untuk kita mendidik banduan di sini, khususnya di Unit Sajian Penjara menyahut cabaran itu dan akhirnya mereka berjaya melakukan yang terbaik hingga mendapat SPHM.

“Garis panduan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kami ikut sehingga berjaya mendapat SPHM. Setiap tiga bulan, kami diaudit oleh Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan diiktiraf dengan taraf kebersihan di bawah kategori A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan SPHM kepada Penjara Marang, di sini, hari ini, yang disampaikan Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Mohd Azam Awi.

Wan Sani berkata, aspek halalan toyyiban menerusi kualiti kebersihan, pemprosesan dan mutu makanan dititikberatkan oleh Penjara Marang dalam penyediaan makanan kepada banduan.

“Tanpa sijil pengesahan halal dan kebersihan serta kualiti makanan yang tidak memuaskan, dibimbangi boleh mendatangkan keracunan kepada banduan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, sehingga Jun 2019, sebanyak 179 SPHM aktif di negeri ini.

Katanya, Unit Sajian Penjara Marang mendapat SPHM di bawah Skim Premis Makanan dan ia diharap dapat menjadi peringatan, dorongan dan galakan kepada premis lain untuk turut mendapatkan sijil halal itu.

“JHEAT berharap pengurusan Penjara Marang terus mematuhi dan mengekalkan piawaian SPHM dan membuat penambahbaikan lain serta terus komited dan bertanggungjawab dengan polisi halal bagi memastikan makanan yang disediakan menepati aspek halalan toyyiban,” katanya.

746 dibaca
PENGARAH Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff. - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X