Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:20pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun buat lawatan ke tapak projek pembinaan pejabat Imigresen Cawangan Jempol. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Dialog bersama 36 industri di beijing beri peluang promosi MVV

JEMPOL: Forum bersama industri di Beijing yang diadakan sempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke China baru-baru ini, memberi peluang mempromosikan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di bahagian barat Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyertai forum itu berkata, lawatan berkenaan membuka peluang kerajaan negeri menawarkan ruang kepada pelabur industri berteknologi tinggi untuk melabur di negeri ini.

Katanya, terdapat pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur dalam projek MVV yang dijadual mengambil masa selama 30 tahun untuk dibangunkan.

“Kita mempromosikan MVV 2.0 ini ke negara mereka dan apabila kita memberi penerangan, dialog serta tayangan klip video, mereka menyatakan bahawa projek ini suatu lokasi yang baik dan sesuai untuk ditawarkan industri, khususnya industri berteknologi tinggi ke negara kita.

“Ini yang kita harapkan bagi mempromosikan MVV ini kepada pelabur dan banyak juga syarikat telekomunikasi di sana cuba berbincang dengan kita berkenaan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Ketua Jabatan Daerah Jempol, di sini, hari ini.

Menurut Aminuddin, lawatan itu memberi input postif dalam membangunkan negeri ini berpandukan kejayaan pembangunan di China dalam memastikan negara menjadi lebih bersih, teratur dan mempunyai landskap menarik.

“Lawatan kerja itu dapat memberi iktibar kepada semua supaya memastikan kebersihan dan keindahan negeri terpelihara, selain mendapat banyak pengalaman cukup baik untuk kita bangunkan negara ini,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X