Jumaat, 12 Julai 2019 | 3:06pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menghadiri Pesta Minda, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Auditorium Kompleks Chung Hua Middle School No 1, Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Tiada rombakan Kabinet Sarawak - Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengesahkan tiada rombakan Kabinet negeri akan berlaku susulan Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, bertindak keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Abang Johari berkata, barisan Kabinet sedia ada kekal berfungsi seperti biasa tanpa ada sebarang perubahan walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu bukan lagi ahli parti berkenaan.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mengulas sama ada Jerip patut memohon masuk salah satu daripada empat parti komponen gabungan itu.

"Satu-satulah... saya hanya mengetahui berkenaan tindakan Jerip keluar PSB pada tengah hari semalam," katanya selepas menghadiri Pesta Minda, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Auditorium Kompleks Chung Hua Middle School No 1, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada barisan Kabinet akan dirombak pada masa depan, Abang Johari secara ringkas menyataakan perkara itu tidak terlintas di fikirannya.

Semalam, Jerip yang juga Timbalan Presiden PSB, melakukan kejutan selepas mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan penuh kepada GPS.

Dalam Kabinet Sarawak, hanya Menteri Kewwangan II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh, sahaja wakil PSB. Soon Koh juga adalah Presiden parti berkenaan.

GPS yang membentuk kerajaan terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Bersatu (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala PDP adalah parti serpihan SUPP.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian mempelawa Jerip secara terbuka kembali menganggotai SUPP demi memastikan suara politik Sarawak kembali kuat.

"Bukan sahaja Jerip, semua ahli yang meninggalkan parti SUPP boleh kembali... tidak ada sebarang syarat. Sesiapa sahaja boleh masuk semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan jemputan kembali ke pangkuan SUPP termasuk membabitkan Soon Koh.

179 dibaca
Berita Harian X