Khamis, 11 Julai 2019 | 12:44pm
PASUKAN Polis Marin (PPM) melancarkan operasi mengesan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bom ikan di Pasar Besar Safma. - Foto ihsan PPM

Peniaga sukar kenal pasti ikan kaedah bom atau sebaliknya

KOTA KINABALU: Rata-rata peniaga di Pasar Besar Ikan Kota Kinabalu, di sini, mendakwa sukar mengenal pasti ikan yang dijual daripada aktiviti pengeboman ikan.

Peniaga turut mendakwa ia hanya boleh diketahui apabila isi ikannya hancur selepas perut ikan dibuka.

Seorang peniaga, Mohd Din Abdullah, 38, mengaku dia pernah dapat ikan yang di bom namun hanya diketahui selepas pelanggan memulangkan semula ikan kepadanya.

“Susah kami mahu cakap, sebab kami pun tidak tahu itu ikan yang di bom dan hanya diketahui sekiranya isi didalamnya dibuka.

“Saya pun dapat ikan bom juga dan biasanya saya akan kembalikan wang dan pelanggan akan beri saya balik ikan yang dibelinya,” katanya ketika ditemui di pasar itu, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Din, keadaan itu jarang berlaku kerana mereka hanya akan mengambil ikan dari laut dalam yang dibawa bot nelayan.

“Ikan yang kami beli biasanya ditempah terlebih dahulu kerana ia diambil dari laut dalam sebelum bot nelayan datang dan agihkan kepada peraih.

“Jadi mustahil ikan yang kami dapat adalah ikan yang di bom kerana ikan yang saya jual adalah ikan jenis mahal seperti kerapu, ikan merah dan sebagainya yang hanya boleh didapati dari laut dalam dengan menggunakan pukat,” katanya.

Mohd Din berkata, aktiviti mengebom ikan ini sudah berlaku sejak dahulu lagi dan aktiviti itu sekali gus menjejaskan peniaga ikan seperti mereka.

“Pihak berkuasa sepatutnya kawal pengeluar bahan membuat bom ikan itu dan mereka tidak boleh kawal peniaga kerana kami tidak tahu berkaitan ikan yang ditangkap melalui kaedah bom.

“Kami cuma cari makan saja, bukan mahu buat jenayah dan saya tahu undang-undang di mana ia boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga lima tahun sekiranya didapati terbabit dalam aktiviti ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Azman, 30-an, mengakui disebabkan ada nelayan yang tidak bertanggungjawab, mereka turut terpalit berhubung isu bom ikan yang semakin menjadi-jadi di negeri ini.

“Kami pun mahu jaga kualiti ikan sebab pelanggan kami bukan orang tempatan saja tetapi ada juga pelancong asing termasuk dari Semenanjung.

“Sudah tentu, kami mahu jual ikan yang segar dan selamat dimakan oleh pelanggan sesuai dengan harganya,” katanya.

Terdahulu, Pasukan Polis Marin (PPM) melancarkan operasi mengesan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bom ikan di Pasar Besar Safma, tengah malam kelmarin.

Dalam operasi itu, sebanyak 21 meja peniaga ikan diperiksa untuk mengenal pasti ikan yang dijual sama ada hasil daripada aktiviti pengeboman atau sebaliknya.

Berita Harian X