Selasa, 9 Julai 2019 | 4:10pm
Norazam (tiga dari kiri) diiringi Farshila (kiri) melawat pameran pada Program Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Pharmaniaga di Pharmaniaga Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Pengusaha kilang di Selangor digalakkan tubuh ERT

SHAH ALAM: Semua pengusaha kilang di Selangor digalak menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di premis masing-masing sebagai langkah berdepan dengan kebakaran dan kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata objektif penubuhan ERT atau Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) adalah sebagai pasukan bertindak pertama (first responder) sebelum ketibaan pasukan Bomba dan Penyelamat.

Malah, katanya, ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk mewajibkan setiap kilang yang mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) menubuhkan OKK di premis masing-masing.

Tegas beliau, adalah lebih baik jika semua pekerja dan kakitangan di sesebuah kilang mengetahui cara untuk menggunakan peralatan keselamatan kebakaran bagi memudahkan kebakaran dipadamkan atau dikawal daripada merebak.

Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini, kebakaran kilang sering berlaku termasuk pada Jumaat lalu, membabitkan sebuah kilang bahan kimia di Pulau Indah dan kilang perabot di Sungai Buloh, semalam.

“Apabila kita semak dan kaji, kita dapati premis yang terbakar ini tidak mempunyai ERT, iaitu pasukan yang bertindak awal sewaktu berlaku kebakaran.

“Apabila berlaku kebakaran, mereka tidak tahu menggunakan peralatan keselamatan kebakaran yang ada di kilang terbabit seperti alat pemadam api, hos pemadam serta air bertekanan tinggi, menyebabkan api merebak dengan cepat dan seluruh bangunan sudah terbakar apabila kita sampai.

“Setakat ini kita ada kira-kira 100 premis yang berdaftar dengan pasukan bomba dan penyelamat di seluruh Selangor dan membuat latihan tetapi yang mempunyai pasukan seperti Pharmaniaga ini masih kecil bilangannya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau yang mewakili Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, ditemui selepas merasmikan Program Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Pharmaniaga - Langkah Keselamatan Menjaga Bekalan Ubat-ubatan Negara di Pharmaniaga Berhad.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran dan Ketua Pegawai Operasi Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Kata Norazam, di Selangor ketika ini ada 454 ERT dan OKK ditubuhkan membabitkan 10,616 ahli; Bomba Komuniti (146 pasukan dengan 1,724 ahli); Skuad Bomba (135 pasukan dengan 1,837 ahli) dan Kelab 3K (146 pasukan dengan 5,659 ahli).

Pada masa sama, kata beliau, kakitangan dan pekerja juga perlu mengubah sikap sambil lewa ketika mendengar penggera kebakaran berbunyi walaupun ketika latihan kebakaran dan sebaliknya melatih diri untuk segera keluar dari bangunan.

Norazam berkata, setakat enam bulan sehingga Jun, 40 kes kebakaran kilang berlaku di Selangor dengan kerugian dianggarkan RM105,435,831.54.

Sementara itu, Farshila berkata Pharmaniaga sudah menubuhkan ERT sejak 2005 lagi berikutan syarikat itu bertanggungjawab menghantar ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan ke hospital kerajaan di seluruh negara.

Justeru, katanya, sekiranya berlaku kebakaran di mana-mana lima gudang penyimpanan ubat-ubatan dan peralatan perubatan, ia berkemungkinan memberi kesan domino termasuk menyebabkan hospital dan klinik kerajaan kekurangan bekalan, seterusnya pesakit terjejas.

“Atas sebab itu, setiap tahun kami menambah ahli dan melatih pekerja untuk mengendalikan peralatan keselamatan kebakaran selain mengendalikan kecemasan lain termasuk membabitkan bahan kimia.

“Kita menyimpan ubat-ubatan bernilai tidak kurang RM300 juta dan perlu memastikan tiada apa-apa tidak diingini berlaku di kawasan penyimpanan,” katanya.

251 dibaca
Berita Harian X