Selasa, 9 Julai 2019 | 8:19am
Gambar hiasan - Nyamuk Aedes pembawa demam denggi.

Negeri Sembilan rekod 1,268 kes denggi

SEREMBAN: Sebanyak 1,268 kes demam denggi direkodkan di Negeri Sembilan sejak awal tahun hingga Sabtu lalu, mencatatkan peningkatan 86.2 peratus berbanding 681 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali, berkata bilangan kes denggi yang didaftarkan di negeri itu pada minggu ke-27 iaitu dari 30 Jun hingga 6 Julai lalu adalah sebanyak 40 kes.

Beliau berkata, daerah Seremban merekodkan kes tertinggi iaitu 1,028, diikuti Tampin (67 kes), Port Dickson (53 kes), Jempol (49 kes), Jelebu (26 kes), Rembau (23 kes) dan Kuala Pilah (22).

“Terdapat tujuh kes kematian atau 0.55 peratus disebabkan oleh demam denggi dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga Sabtu lalu, berbanding dua kes atau 0.26 peratus dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif adalah sebanyak 11 lokaliti wabak iaitu 10 lokaliti di daerah Seremban dan satu lokaliti di daerah Jempol,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata, dua kawasan di Seremban direkodkan sebagai kawasan aktif wabak iaitu Apartmen Desa Palma dan Pusat Komersial Oakland (Jalan 4) manakala baki direkodkan sebagai kawasan wabak terkawal.

Katanya, berikutan bilangan kes kumulatif yang tinggi maka aktiviti pencegahan dan kawalan dipergiatkan lagi pada masa ini.

“Kita menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes, aktiviti larviciding (membunuh jentik-jentik), semburan pengasapan, Op Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong yang membabitkan masyarakat,” katanya. - BERNAMA

141 dibaca
Berita Harian X