Khamis, 4 Julai 2019 | 5:38pm
Jagdeep (tiga dari kiri) bergambar selepas memberi kenyataan akhbar mengenai pembaharuan skim perumahan awam pada sidang media di KOMTAR, Pulau Pinang. - NSTP/Danial Saad

Pulau Pinang laksana pembinaan semula flet 50 tahun

GEORGETOWN: Sebuah pangsapuri kos rendah berusia 50 tahun di Bayan Baru di sini, bakal menjadi projek perintis kepada projek pembangunan semula perumahan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Pangsapuri yang dikenali sebagai Flet 5 Blok di Lorong Mahsuri, Bayan Baru itu juga bakal dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan semula pangsapuri kos sederhana rendah dan rumah mampu milik.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata projek pembangunan semula perumahan itu dijangka siap pada 2022, dengan tambahan lebih banyak unit kediaman.

“Sebelum ini, Flet 5 Blok itu hanya mempunyai 300 unit yang berukuran 23.7 meter persegi dan 40 meter persegi.

“Tetapi apabila pembangunan baru ini siap, ia akan mempunyai 1,150 unit kos sederhana rendah dan mampu milik berukuran 65 meter persegi dan 79 meter persegi, kerana pertambahan tingkat,” katanya pada sidang media Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Jagdeep berkata dibawah skim pembangunan semula itu, pemilik asal Flat 5 Blok akan diberi satu unit rumah kos sederhana rendah yang berharga RM72,500 sebagai pampasan.

Bagaimanapun, katanya, jika pemilik mahu menaik taraf dan membeli unit rumah mampu milik, mereka akan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri juga akan membayar sewa bulanan sebanyak RM500 kepada pemilik sebagai ganti rugi, sehingga projek baharu itu siap,” katanya.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lalu, kerajaan negeri sudah mengenalpasti sekurang-kurangnya lima projek perumahan berstrata di negeri itu untuk dicadang dibangunkan semula selepas struktur bangunannya dikenal pasti tidak sesuai untuk didiami.

Selain Flet 5 Blok, ia termasuk Flet Rifle Range, Air Hitam; Taman Free School, Jelutong; Flet Mak Mandin, Butterworth dan flet di Taman Siakap, Seberang Jaya.

Sementara itu, Jagdeep berkata projek pembangunan semula perumahan itu akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada penduduk, selain peluang baharu untuk membeli kediaman.

“Ini tidak hanya memberi pilihan kepada penghuni asal untuk mendapatkan unit lebih besar dan lebih banyak kemudahan, tetapi juga lebih banyak unit boleh dibina untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

“Ini amat baik untuk negeri yang kekurangan tanah seperti Pulau Pinang,” katanya.

99 dibaca
Berita Harian X