Khamis, 4 Julai 2019 | 3:09pm
Muzammil (tengah) meneliti risalah berkaitan penerbangan Qatar Airways selepas sidang media di Hotel Adya Chenang, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Qatar Airways lebar sayap ke Langkawi

LANGKAWI: Qatar Airways akan melebarkan operasinya ke pulau peranginan ini melalui penerbangan sulungnya, Oktober depan.

Pengurus Negara Qatar Airways Malaysia dan Brunei, Datuk Muzammil Mohamad, berkata Langkawi dipilih sebagai destinasi ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Ini berikutan permintaan tinggi penumpang dari Amerika Syarikat, Afrika dan Eropah yang tertarik untuk menikmati keunikan dan keindahan Langkawi.

“Sebagai permulaan, penerbangan terus dari Doha dibuat empat kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Razmi Rahmat; Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak dan Timbalan Presiden Persatuan Niagakawi, Datuk Alexander Isaac.

Muzammil berkata, pihaknya juga merancang menambah satu lagi penerbangan Doha-Langkawi pada akhir Oktober, menerusi penambahan jadual pada Jumaat.

“Dengan lima penerbangan mingguan antara Doha dan Langkawi, kami pasti ramai pelancong asing dapat menikmati percutian yang hebat dan indah di Langkawi.

“Tempoh penerbangan adalah kira-kira 12 jam 45 minit bagi setiap perjalanan dengan Boeing 787 Dreamliner, yang mempunyai kapasiti 250 tempat duduk,” katanya.

399 dibaca
Berita Harian X