Selasa, 2 Julai 2019 | 9:31pm

Petugas, pengamal media perlu diberi kelengkapan sesuai ke kawasan pencemaran

JOHOR BHARU: Semua pihak termasuk petugas media yang terbabit dalam operasi berkaitan pencemaran gas atau toksik perlu mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan terutama menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian petugas menjadi mangsa pencemaran ketika bertugas di kawasan tercemar perlu dielakkan.

“Kes sebegini perlu dijadikan peringatan oleh semua pihak termasuk organisasi media bahawa petugas di lapangan sentiasa menghadapi risiko.

“Jadi majikan perlu menyediakan PPE yang sesuai sebelum menghantar petugas termasuk wartawan dan jurugambar ke lokasi pencemaran,” katanya selepas melawat jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohd Azren Jamaludin di sebuah hospital swasta di sini, malam ini.

Mohd Azren, 33, dimasukkan ke hospital itu sejak Sabtu lalu selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam, yang kemudian disahkan sebagai Influenza B, selepas beberapa hari membuat liputan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Lam Thye yang juga Ahli Lembaga Pengarah NSTP berkata, ketika tragedi Sungai Kim Kim berlaku Mac lalu, lima petugas media turut menerima rawatan akibat kesan pencemaran itu.

194 dibaca
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye meluangkan masa melawat jurugambar NSTP, Mohd Azren Jamaludin yang mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Puteri Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X