Sabtu, 29 Jun 2019 | 7:32pm
Tapak pelupusan sampah haram di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP). - Ihsan Majlis Perbandaran Padawan
Tapak pelupusan sampah haram di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP). - Ihsan Majlis Perbandaran Padawan

Tapak pelupusan haram jejaskan kesihatan awam

KUCHING: Dianggarkan antara 100 hingga 200 tan sampah domestik dibuang di kawasan tapak pelupusan haram berdekatan kediaman serta pusat komersial dalam kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang, berkata sampah berkenaan bukan sahaja sisa makanan atau bahan plastik, malah perabot lama, tayar, barangan lama, sisa bangunan dan sisa tanaman turut dilonggokkan di tapak pelupusan haram itu.

Beliau berkata, lokasi utama tapak pembuangan sampah haram itu ialah di Jalan Kangkok, Kuching City Mall, jalan masuk ke Kompleks Perumahan Awam Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sarawak di Batu 6 Jalan Penrissen, Jalan Ensing Timur, Kampung Tengah Sungai serta Jalan Segubang-Sejijak.

“Masalah itu semakin serius dan sukar dibasmi tanpa kerjasama orang ramai. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu harus dihentikan kerana ia bukan sahaja mengundang risiko kesihatan awam tetapi juga membebankan MPP untuk membersihkannya.

“Proses untuk membersihkan tapak pelupusan haram itu memerlukan masa, tenaga dan wang. Tahun lalu sahaja, MPP membelanjakan kira-kira RM97,000 untuk membersihkan tempat pembuangan haram kerana perlu membawa jentera, lori dan tenaga buruh,” katanya.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan MPP menghabiskan banyak sumber yang tidak perlu untuk mengatasi masalah pembuangan sampah haram itu.

“Adalah lebih baik peruntukan itu kita gunakan untuk memperbaiki kemudahan awam seperti menaik taraf sistem saliran atau penambahbaikan jalan, daripada kita gunakan untuk membersihkan sampah yang dibuang oleh penduduk di kawasan itu sendiri,” katanya.

Pembuangan sampah haram adalah satu kesalahan mengikut Ordinan Lembaga Alam Sekitar Sumber Asli dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (1) (a & b) dengan penalti maksimum RM20,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Khere Chiang meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi MPP di talian 082-615566 atau Trienekens di 082-612300 jika mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

66 dibaca
Berita Harian X