Sabtu, 29 Jun 2019 | 10:22am
Sebahagian tetamu yang menghadiri ‘Jom Singgah Raya’ SKSP, malam tadi.

Jom Singgah Raya SKSP meriah

KUALA SELANGOR: Majlis ‘Jom Singgah Raya’ Sekolah Kebangsaan Seri Pristana (SKSP) di sini, malam tadi, menjadi tumpuan apabila dihadiri hampir 2,000 tetamu dari sekitar perumahan Seri Pristana dan Saujana Utama.

Majlis yang bermula pada jam 8 malam hingga 10 malam itu berlangsung meriah apabila tetamu dijamu dengan pelbagai juadah istimewa seperti sate, mi kuali besar, roti jala, bihun sup, ais krim, ketupat dan rendang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Azamanizam Baharun, berkata majlis itu bertujuan meraikan sambutan Aidilfitri sambil mengukuhkan hubungan baik, terutama di antara pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa.

Katanya, acara tahunan yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama SKSP akan diteruskan kerana ia wadah penting dalam mewujudkan suasana harmoni ke arah membantu meningkatkan pencapaian sekolah.


Naveen Kularasa menurunkan tandatangan pada buku nama pemberi sumbangan Fitnessthon SKSP, sambil diperhatikan Zazaluma.

Majlis itu dirasmikan oleh R Naveen Kularasa iaitu Pegawai Khas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

Yang turut hadir, Pegawai Khas kepada Menteri Kesihatan, Maskor Mohd Tumiran dan Guru Besar SKSP, Zazaluma Harun.

Pada majlis itu, Naveen Kularasa turut menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 untuk Fitnessthon SKSP 2019 bagi menambah dana dalam tabung PIBG untuk menambah baik prasarana sekolah.

Program ini juga dapat mewujudkan jalinan mesra di antara guru, ibu bapa dan komuniti serta menjadikan aktiviti kecergasan sebagai budaya dan amalan hidup sihat dalam kalangan warga sekolah, bermula 19 Ogos hingga 18 Oktober tahun ini.

Pada sebelah pagi, SKSP mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan acara menarik yang dipersembahkan oleh guru.


Murid teruja menyaksikan persembahan guru.

193 dibaca
Berita Harian X