Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:19pm
AHLI keluarga mengiringi jenazah Siti Patimah Mohamad Nor yang meninggal dunia di Melbourne, Australia, 18 hari lalu untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pekan Baru Kuala Besut, sekitar jam 12 tengah hari tadi. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Syukur dapat kebumikan ibu di tanah air

JERTIH: “Syukur, dapat kami tunaikan permintaan Mama untuk dikebumikan di tanah air,” kata Zalimi Abd Ghani, 39, anak kedua Allahyarham Siti Patimah Mohamad Nor, 65, yang meninggal dunia kerana serangan jantung di Melbourne, Australia, 18 hari lalu.

Jenazah warga emas itu selamat tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sydney, Australia pada jam 5 pagi tadi dan selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Baru, Kuala Besut pada jam 12 tengah hari.

“Jenazah Mama terus diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan jam 8.30 pagi tadi sebelum tiba sejam kemudian sebelum dibawa ke Masjid Kuala Besut untuk disembahyangkan kira-kira jam 11 pagi,” katanya.

Zalimi berkata, jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pekan Baru untuk dikebumikan berhampiran kubur suaminya, Abd Ghani Latif.

“Walaupun terpaksa menempuh sedikit kesulitan untuk membawa pulang jenazah, kami lega hasrat arwah Mama untuk dikebumikan di tempat sendiri tertunai. Kami sekeluarga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan Kerajaan Terengganu di atas bantuan diberikan,” katanya.

Kisah Allahyarham viral di laman sosial Facebook apabila anak-anaknya memohon bantuan dana RM31,000 untuk membawa pulang jenazah ibu mereka yang berasal dari Kampung Lay Out , Tok Sabah, Kuala Besut, di sini.

Bagaimanapun, dana mereka mencukupi hasil sumbangan orang ramai dan kerajaan negeri sehari selepas kisah rayuan itu tular di Facebook.

Allahyarham ke Australia pada Oktober tahun lalu untuk melawat anaknya serta ahli keluarga yang menetap di sana sejak lima tahun lalu.

Berita Harian X