Khamis, 27 Jun 2019 | 11:04pm
Satu kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram di Kampung Rantau Panjang. - NSTP/Ihsan JBPM

Tapak pelupusan haram Kampung Rantau Panjang terbakar

KLANG: Kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram di Kampung Rantau Panjang, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.20 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar tanah milik persendirian, yang menjadi sebahagian daripada kawasan pelupusan sampah berkeluasan kira-kira empat hektar.

“Kebakaran berlaku di tapak pelupusan sampah di Jalan Sungai Saim, di Kampung Rantau Panjang, yang dipadamkan sepasukan anggota dari BBP Sungai Pinang dengan dibantu anggota dari BBP Pelabuhan Klang.

“Ketika ini kebakaran masih dipadamkan, selain anggota bomba, operasi memadamkan api turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) , pasukan PANTAS Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pasukan bomba pelabuhan Northport,” katanya kepada Berita Harian.

Hafisham berkata, kawasan berkenaan difahamkan menjadi tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar.

Berita Harian X