Khamis, 27 Jun 2019 | 8:07pm
RUANG solat terbuka boleh menampung sehingga 3,500 jemaah. - Foto Fathil Asri
MASJID Razaleigh yang sudah hampir 95 peratus untuk siap. - Foto Fathil Asri

Masjid Razaleigh ambil inspirasi 'Masjidil Haram'

GUA MUSANG: Masjid Razaleigh bernilai lebih RM28 juta yang menyerupai model Masjidil Haram di Makkah dijangka siap hujung tahun ini, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Kelantan, khususnya di sini.

Berkeluasan 70,000 kaki persegi, masjid dengan rekaan unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin dibina di atas tapak seluas 1.5 hektar.

Mula dibina pada akhir 2016, masjid diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu, mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada setiap masa dengan dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.

Pengarah Projek Inspirasi Perkasa Sdn Bhd, Mohd Mizi Miah, berkata keunikan masjid berkenaan bukan sahaja besar tetapi tertumpu kepada rekaan warna, jubin, hiasan dalaman dan hiasan luar.


MASJID Razaleigh yang sudah hampir 95 peratus untuk siap. - Foto Fathil Asri

Beliau yang juga kontraktor utama masjid itu berkata, masjid itu sudah 95 peratus siap dan kini dalam proses ukiran di bahagian luar termasuk kubah dan menara yang mengambil inspirasi daripada Masjidil Haram sebelum ia diubah suai.

“Masjid ini akan menjadi ikon kepada Kelantan dan Gua Musang bagi menarik pelancong dalam dan luar untuk mengunjungi lokasi ini.

“Masjid ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka, dewan serba guna, rumah imam, ruang kelas, bilik komputer, perpustakaan, tandas dan tempat letak kereta yang cukup.

“Pembinaannya juga untuk menyemarakkan aktiviti di masjid termasuk penganjuran seminar, ilmu agama, kelas tuisyen dan ceramah kepada komuniti setempat,” katanya di sini, hari ini.


RUANG solat terbuka boleh menampung sehingga 3,500 jemaah. - Foto Fathil Asri

Mohd Mizi berkata, masjid berkenaan bakal ‘dihidupkan’ dengan pelbagai aktiviti sepanjang 24 jam, manakala penduduk sekitar dapat menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, berkata pembinaan masjid baharu itu untuk menggantikan Masjid Razaleigh yang lama.

Katanya, pembinaan masjid itu menggunakan kepakaran arkitek dan bahan binaan yang dikeluarkan 100 peratus orang tempatan.

“Ia menunjukkan pakar tempatan juga mampu membina sebuah masjid yang bukan sahaja indah dan unik tetapi akan menjadi tumpuan jemaah untuk menunaikan solat memandangkan Gua Musang menjadi laluan utama pengguna untuk ke Kuala Lumpur.

“Ciri-ciri reka bentuk masjid itu mirip Masjidil Haram yang lama iaitu sebelum bermulanya pengubahsuaian Masjidil Haram dan secara amnya dari tahun 2006.

“Masjid utama Masjidil Haram dengan ruang solat utama seakan-akan di ‘King Abdul Aziz Gate’ dan ‘Safa Marwah’ tetapi ia diubahsuai mengikut kesesuaian bagi kegunaan tempatan seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka atau ruang seminar dan arah kiblat ke Makkah,” katanya.

Berita Harian X