Khamis, 27 Jun 2019 | 5:53pm
PEGAWAI Jabatan Kimia Malaysia turut melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru berikutan berlaku situasi pencemaran udara di beberapa kawasan di sekitar Pasir Gudang. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Penduduk Pasir Gudang mahu penjelasan pencemaran udara

PASIR GUDANG: Penduduk Pasir Gudang, dekat sini, menuntut kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai pencemaran udara yang berlaku sejak Khamis lalu.

Tinjauan BH mendapati, penduduk Pasir Gudang khususnya di Taman Mawar sukar menerima hakikat bahawa punca sebenar gangguan kesihatan di sini masih gagal dikesan.

Peniaga makanan di Pusat Perniagaan Kebayan Taman Mawar, Khairil Azwa Mohd Ramli, 26, berkata penduduk di taman berkenaan kini juga risau apabila anak dikuarantin di rumah bagi mengelakkan terdedah kepada pencemaran udara.

“Saya dan peniaga di sini dapat menyaksikan suasana huru-hara apabila seorang demi seorang murid Sekolah Agama Taman Mawar pengsan Khamis lalu berikutan pusat perniagaan ini terletak bersebelahan sekolah agama itu.

“Sejak itu, penduduk taman ini risau berikutan masih tidak mendapat jawapan apa sedang berlaku. Malah, semalam dilaporkan punca sebenar kejadian masih tidak diketahui.

“Pihak berkuasa pun tidak memaklumkan apa-apa kepada penduduk sejak kejadian menyebabkan kami tertanya-tanya. Tiada wakil kerajaan negeri datang membuat tinjauan, apatah lagi bertanya khabar kami,” katanya ketika ditemui BH, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, dilaporkan berkata kesulitan untuk mencari punca (pencemaran udara Pasir Gudang) adalah disebabkan kesukaran menemui kandungan sebatian kimia dalam sampel darah dan air kencing mangsa.

Beliau dilaporkan berkata, tiada bukti fisiologikal (sebatian kimia) ditemui dalam lapan sampel darah dan air kencing mangsa yang dianalisis.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Norlina Mohd Yassin, 36, berharap kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu pencemaran udara.

“Sampai bila sekolah perlu ditutup setiap kali pencemaran berlaku kerana ia menjejaskan murid sekolah termasuk anak saya.

“Jika anak sakit, ibu bapa pun perlu bercuti bagi memantau keadaan anak-anak, apatah lagi kejadian pencemaran udara sudah berlaku buat kali kedua,” katanya.

161 dibaca
Berita Harian X