Khamis, 27 Jun 2019 | 1:57pm
Gambar fail, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di Bilik Raja Mahadi MPK. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Kilang haram: Periksa 20, hanya 3 ada lesen

KLANG: Hanya tiga daripada 20 kilang yang diperiksa unit penguatkuasaan Majlis Perbandaran Klang (MPK), memiliki lesen serta mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh majlis.

Yang dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sebanyak empat operasi mengesan kilang haram itu dilakukan di Telok Gong dan Taman Perindustrian Air Hitam oleh dua unit penguatkuasaan yang ditubuhkan kira-kira dua minggu lalu.

“Sebanyak lima kilang diperiksa di Taman Perindustrian Air Hitam dan kesemuanya tidak mempunyai lesen manakala 15 kilang diperiksa di Telok Gong dengan hanya tiga yang berlesen.

“Saya terkejut serta kecewa apabila mendapati perkara ini berleluasa di daerah Klang. Justeru kita tidak mahu menangguh lagi perkara ini dengan pemberian notis seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penuh MPK, di Bangunan MPK, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilik kilang mengambil mudah notis yang diberikan sebelum ini kerana penguatkuasaan kurang dijalankan.

Katanya, lebih mengejutkan pihaknya adalah terdapat kilang baharu yang dibina di kawasan kilang terancang tetapi beroperasi tanpa lesen daripada pihak MPK.

“Setiap minggu ada saja kilang yang memohon lesen dan setiap kali mesyuarat pelesenan diadakan, kita akan meluluskan antara 40 hingga 50 lesen kilang justeru itu, kita tidak sangka masih banyak yang beroperasi tanpa lesen.

“Kita akan laksanakan operasi ini setiap hari selama tiga bulan dan berharap agar ia dapat menimbulkan kesedaran terhadap pemilik kilang supaya segera memohon lesen daripada MPK jika tidak mahu dikompaun.

“Antara kompaun yang boleh dikenakan kepada pemilik kilang adalah menduduki bangunan tanpa Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dengan nilai kompaun RM125,000; meniaga atau beroperasi tanpa lesen (RM1,000); bangunan tiada pelan merancang (RM25,000) dan lain- lain,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yasid berkata, dua unit penguatkuasaan itu disertai oleh pelbagai jabatan dalaman MPK iaitu perancang, pembangunan, kesihatan, perlesenan serta penguatkuasa.

Berita Harian X