Khamis, 27 Jun 2019 | 12:25am

LRA Sungai Semenyih dijangka beroperasi semula pagi ini

SHAH ALAM: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dijangka beroperasi semula jam 11 pagi ini, selepas ia dihenti tugas jam 5 petang semalam ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata pihaknya mengenalpasti punca pencemaran bau itu berada pada jarak 16 kilometer dari muka sauk loji berkenaan.

“Agensi penguatkuasaan kerajaan negeri sudah mengambil tindakan segera bagi menghentikan aliran pencemaran ke sungai dan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi serta aliran ke sumber air mentah, loji dijangka hanya dapat beroperasi semula dalam tempoh 15 jam.

“Ini bergantung kepada keadaan cuaca dan aliran di sungai serta pencemaran tidak berulang, di mana tiga jam diperlukan bagi menstabilkan semula operasi termasuk proses mengepam air mentah selain pemprosesan air terawat untuk disalurkan ke kolam imbangan.

“Pemulihan adalah secara berperingkat dan bergantung kepada lokasi serta altitud kawasan. Kami jangka pemulihan menyeluruh akan mengambil masa 72 jam selepas loji kembali beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Abdul Raof berkata kejadian itu memberi kesan kepada 512 kawasan, membabitkan 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, yang mengalami gangguan bekalan air serta tekanan rendah secara berperingkat.

Beliau berkata Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning sudah diaktifkan pada jam 8 malam tadi bagi menyelaras bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna yang terjejas.

Katanya, pihaknya akan menggerakkan aset sedia ada dan juga aset bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain di samping mengaktifkan beberapa Pusat Khidmat Setempat yang akan dimaklumkan.

“Bagi mengelakkan panggilan lewat dilayan dan masa menunggu yang lama ekoran kesesakan talian di pusat panggilan, kami mohon kerjasama pelanggan yang terjejas untuk merujuk makluman rasmi dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui laman sesawang.

“Mereka boleh melayari www.syabas.com.my; aplikasi telefon bimbit Air Selangor; Facebook dan Twitter Air Selangor.

“Bagi kes-kes kritikal dan bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi kami dengan menghantar WhatsApp ke talian 019-281 6793 / 019-280 0919 atau menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menaip SMS Tanker [Nama] [Alamat] ke 15300,” katanya.

540 dibaca
Berita Harian X