Rabu, 26 Jun 2019 | 4:51pm
Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin (tengah) bersama Pengarah Urusan KDEBWM Sdn Bhd, Ramli Mohd Tahir pada Majlis Penyerahan Kompaktor bagi Pengurusan Kutipan Sampah Domestik di Kuala Kubu Bharu, Selangor, hari ini.

KDEBWM ambil alih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah Hulu Selangor

illahhafiz.abdul aziz.

KUALA LUMPUR: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dengan kos operasi sebanyak RM10 juta setahun, bermula 1 Julai depan.

Ia selaras arahan kerajaan negeri supaya KDEBWM yang juga syarikat milik Kerajaan Selangor melalui pegangan saham Kumpulan Darul Ehsan, mengambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh PBT, termasuk MDHS.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin, berkata bilangan penduduk semakin bertambah memberikan cabaran kepada MDHS dari segi capaian, servis dan kualiti kutipan sisa pepejal.

Beliau berkata, pihak MDHS berharap servis pengurusan sisa pepejal selepas pengambilalihan oleh KDEBWM adalah lebih baik, efektif dan sekali gus mengurangkan aduan daripada penduduk.

“Saya berharap pihak KDEBWM sentiasa menjaga prestasi kontraktor serta memastikan tiada sebarang masalah aduan tertunggak dan kutipan sampah di tapak yang boleh menyebabkan masalah gangguan bau, estetika serta gangguan lalat dan haiwan lain.

“Pembaharuan dibawa KDEBWM ialah pengurusan aduan sistematik dan berteknologi tinggi, iaitu dengan pewujudan Centralize Command Center (CCC) yang akan menyelaras setiap aduan diterima melalui aplikasi aduan dalam talian, IClean,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kompaktor bagi Pengurusan Kutipan Sampah Domestik di Kuala Kubu Bharu, Selangor, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan KDEBWM Sdn Bhd, Ramli Mohd Tahir.

Shukri berkata, setiap persempadanan zon di lapangan sudah dibahagi dan disusun dengan teliti oleh KDEBWM bagi memastikan perkhidmatan kutipan diberi adalah sempurna mengikut spesifikasi ditetapkan dalam syarat perjanjian dipersetujui bersama oleh majlis.

“Berdasarkan penelitian dalam perancangan dan kelengkapan logistik baharu oleh KDEBWM, pihak majlis berharap perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang akan dilaksanakan dapat memberi kesan positif kepada warga Hulu Selangor,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 23 lori kompaktor dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih, diserahkan kepada subkontraktor untuk kegunaan kerja kutipan sampah domestik serta pembersihan awam di kawasan Hulu Selangor.

Berita Harian X