Selasa, 25 Jun 2019 | 4:30pm
TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (berdiri, tengah) dan Pengarah Perkeso Negeri Pulau Pinang, Othman Mohd Nordin (berdiri, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima pada majlis penyampaian bayaran faedah PERKESO dan penyerahan kerusi roda di Butterworth, hari ini. - Foto Shahnaz Fazli Shahrizal

PERKESO Pulau Pinang bayar RM36 juta sehingga Mei lalu

BUTTERWORTH: Sebanyak 11,545 tuntutan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang sudah diselesaikan yang membabitkan nilai RM36.14 juta dari Januari hingga Mei lalu.

Bayaran faedah itu membabitkan tuntutan hilang upaya kekal, pencen ilat dan penakat, orang tanggungan, pengurusan mayat serta bayaran ganti belanja dituntut pencarum dan waris selepas ditimpa kemalangan sama ada pergi atau balik dari tempat kerja.

Sepanjang tahun lalu, PERKESO Pulau Pinang membayar sebanyak RM77.1 juta kepada pencarum yang membuat tuntutan membabitkan 26,689 kes.

Pengarahnya, Othman Mohd Nordin, berkata pihaknya menitikberatkan kebajikan pencarum dan mahu individu yang belum mencarum supaya tampil kerana pelbagai manfaat daripada bayaran faedah boleh diperoleh.

“PERKESO juga dalam usaha menggalakkan pemandu teksi, bas dan Grab untuk mencarum selain mengalu-alukan mereka yang bekerja sendiri membuat caruman kerana boleh menerima manfaat disediakan.

“Ini akan dapat meringankan beban pencarum serta ahli keluarga mereka jika berdepan dengan musibah,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bayaran faedah PERKESO dan penyerahan kerusi roda di sini, hari ini.

97 dibaca
Berita Harian X