Selasa, 25 Jun 2019 | 4:28pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab. - Foto Khairunisah Lokman

Pejabat operasi AirAsia di LTAM tingkat penggunaan terminal

MELAKA: Kapasiti penggunaan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini dijangka meningkat susulan penempatan pejabat operasi syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) di terminal berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata ia berikutan AirAsia bakal melaksanakan penerbangan sulungnya dari LTAM menggunakan pesawat Airbus A320, ke Pulau Pinang, bermula 1 Julai ini.

“AirAsia akan memulakan operasi di LTAM pada 1 Julai ini, dan sedang dalam proses menyiapkan pejabatnya di terminal.

“Saya berharap khidmat Air Asia di LTAM akan memudahkan perjalanan rakyat negeri ini dan pelancong ke Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, susulan penerbangan ke Pulau Pinang, AirAsia merancang untuk menambah tiga destinasi baharu iaitu Langkawi, Kota Kinabalu dan Pekan Baru, hujung tahun ini kerana pernah menyatakan hasrat itu.

Sementara itu, Pengurus LTAM Malaysia Airports Sdn Bhd, Mohamad Nazri Mat Khalib berkata pihaknya dimaklumkan, AirAsia sedang menyiapkan pejabat dan dua kiosk tiket di terminal berkenaan, sebelum memulakan operasi, pada 1 Julai ini.

“Saya difahamkan, AirAsia sedang menuju penjualan tiket secara dalam talian, dan buat sementara waktu, tidak ada kaunter penjualan tiket AirAsia di LTAM,” katanya.

Katanya, setakat ini, penerbangan menerusi Malindo Air dari Melaka ke Pulau Pinang, Langkawi dan Pekan Baru, beroperasi secara harian di LTAM.

“Malindo Air akan menambah laluan ke Kota Bharu, bermula 27 Jun ini, manakala AirAsia ke Pulau Pinang pada 1 Julai,” katanya.

140 dibaca
Berita Harian X