Selasa, 25 Jun 2019 | 4:20pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bergambar bersama orang ramai pada perasmian Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Kem Nemo di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kuantan bakal jadi bandar raya

KUANTAN: Kerajaan negeri memperoleh kelulusan untuk menaik taraf Kuantan sebagai sebuah bandar raya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kelulusan daripada Kabinet itu dimaklumkan menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bagaimanapun tidak mengulas lanjut tarikh surat itu.

Wan Rosdy mengesahkan surat itu juga diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

“Kita sudah membuat tindakan dan persiapan sewajarnya setelah menerima surat kelulusan itu. Bagaimanapun perkara ini akan mengambil sedikit masa dan tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.

“Masih ada syarat yang perlu dipatuhi, persiapan yang perlu dilakukan selain beberapa lagi siri perbincangan membabitkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan negeri serta mungkin Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Kem Nemo di sini, hari ini.

Beliau juga melihat perubahan status bandar Kuantan akan membawa banyak kesan positif kepada penduduk dalam pelbagai sektor seperti kemudahan infrastruktur kerana perkara itu sebahagian daripada keperluan untuk menjadi bandar raya. - BERNAMA

381 dibaca
Berita Harian X