Selasa, 25 Jun 2019 | 3:49pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong (tiga kiri) menerima buku Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kerian 2035 daripada Yang Di Pertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof@Jusoh (empat kanan). - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Tukar sawah padi jadi kawasan perumahan

PARIT BUNTAR: Kerajaan Perak bersedia meluluskan penukaran status tanah pertanian dikhususkan tanaman padi di daerah Kerian kepada pembangunan perumahan terancang jika terdapat permohonan dikemukakan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, berkata penukaran status tanah itu bagaimanapun akan dikaji secara terperinci termasuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum diluluskan.

Beliau berkata, di sebalik hasrat kerajaan negeri menjadikan Kerian bandar kediaman, fokus utama kepada daerah itu adalah menjadikannya kawasan Lembah Pengeluaran Makanan Negara.

“Memandangkan daerah Kerian antara kawasan Jelapang Padi negara selain Seberang Perak, mungkin terdapat sekatan bagi mana-mana kawasan tanah pertanian padi untuk dibangunkan menjadi kawasan perumahan.

“Namun, jika kerajaan negeri mendapati ada permohonan dengan pelan pembangunan perumahan secara terancang di kawasan sawah padi, tiada masalah untuk mempertimbang menukar status tanah itu,” katanya selepas merasmikan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan membenarkan penukaran status tanah pertanian padi untuk pembangunan di daerah Kerian itu tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Katanya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan sentiasa mengkaji keperluan pembangunan dari semasa ke semasa dan sekiranya ada, kerajaan negeri sedia mengenal pasti tanah bersesuaian untuk dibuka kepada pembangunan.

“Paling penting perlu ada keseimbangan antara usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan keperluan pembangunan.

“Pembangunan boleh dibuat dengan mengekalkan konsep kehijauan alam sekitar dan ia dibuktikan ketika ini apabila ramai pemaju berlumba-lumba melaksanakan pembangunan berasaskan konsep hijau,” katanya.

Berita Harian X