Selasa, 25 Jun 2019 | 3:48pm
Penyu karah yang dipelihara di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah. - NSTP/Hassan Omar

'Kampung Mesra Penyu'

ALOR GAJAH: Kampung Padang Kemunting di Masjid Tanah, dicadangkan dijadikan sebagai ‘Kampung Mesra Penyu’ berikutan jumlah sarang penyu karah yang dicatatkan di perkampungan itu antara yang tertinggi di Semenanjung.

Cadangan itu dikemukakan Pengurus Konservasi Penyu Semenanjung, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Lau Min Min.

Ia susulan amaran Senarai Merah oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang menyenaraikan penyu karah sebagai habitat bakal pupus jika tiada usaha dijalankan bagi pemuliharaan spesies haiwan itu.

Selain itu, beliau berkata, berikutan usaha kerajaan negeri mewartakan kawasan sepanjang 800 meter di pantai Padang Kemunting sebagai kawasan santuari dan ekopelancongan penyu karah, pihaknya turut mencadangkan supaya lampu jalan di pantai Kampung Padang Kemunting dikurangkan.

“Ini kerana penyu tidak gemar tempat terang untuk bertelur dan anak penyu baharu menetas tidak akan ke laut, sebaliknya menuju ke darat jika lampu terlalu terang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP selepas majlis perasmian Hari Penyu Sedunia oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Halim Bachik di di Kampung Padang Kemunting di sini.

Min Min berkata cadangan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), Jabatan Perikanan serta Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP).

Mengulas lanjut, Min Min berkata pantai lain di Melaka yang mencatatkan jumlah sarang penyu karah yang tinggi ialah Kem Terendak di Sungai Udang dan Tanjung Dahan, Tanjung Serai serta Meriam Patah di Kuala Sungai Baru.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu dilaporkan dicatatkan di Melaka dari tahun 2009 hingga 2018, sekali gus berpotensi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama khusus untuk pencinta haiwan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Halim berkata, cadangan itu penting bagi memelihara lokasi pendaratan penyu karah untuk bertelur, selain menjadikannya sebagai destinasi pelancongan.

“Saya menyokong cadangan kampung dan pewartaan itu kerana beberapa pantai di negeri ini adalah lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung,” katanya.

Berita Harian X