Selasa, 25 Jun 2019 | 3:38pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Sambutan Aidilfitri Finisar Malaysia di Kawasan Perindustrian Bebas Kinta di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Spesifikasi tender naik taraf LTSAS dijangka Oktober depan

IPOH: Spesifikasi kerja projek menaik taraf, melebar serta memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dijangka dikeluarkan pada akhir Oktober atau November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata perbincangan mengenai perkara itu sudah memasuki peringkat kedua dan ketiga.

Antara pihak terbabit dalam perbincangan ialah Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kerajaan negeri diwakili Mohammad Nizar serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong.

“Ketika ini juga semua pihak yang terbabit sedang berusaha untuk mengenalpasti kontraktor dan juruperunding yang berkelayakan untuk memberikan spesifikasi teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Finisar Malaysia di Kawasan Perindustrian Bebas Kinta di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Finisar Malaysia Sdn Bhd, Yap Suan See dan Pengarah Finisar Malaysia, Datuk Syed Hussian Syed Junid.

Mohammad Nizar sebelum ini dilaporkan berkata, projek naik taraf LTSAS yang merangkumi lima aspek bakal membabitkan kos antara RM200 juta ke RM250 juta.

Aspek kerja naik taraf termasuk memanjangkan landasan dari dua kilometer (km) kepada 2.4km, pembinaan jejantas, menara kawalan dan bahan api serta kemudahan kargo.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Mohammad Nizar berkata, usaha menaik taraf LTSAS sebagai lapangan terbang dalam bandar dijangka dapat membantu mengembangkan dan merancakkan lagi sektor industri dan ekonomi di Perak.

“Dengan peranan LTSAS sebagai hab serantau, ia akan memudahkan lagi penerbangan di beberapa negara serantau yang tempoh penerbangan ke Ipoh kurang lima jam termasuk Hong Kong, selatan China, Bangkok, Jakarta, Manila dan India,” katanya.

Sementara itu, Suan See berkata, usaha menaik taraf LTSAS bagi membolehkan ia menjadi hab penerbangan serantau akan membantu dan memberikan manfaat kepada pelabur serta rakan perniagaan untuk berurusan di Ipoh dengan lebih mudah.

Contohnya, Finisar mempunyai ramai pelanggan antarabangsa yang sering berulang alik dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan China dan kebanyakan daripada mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mengambil penerbangan ke Singapura dan kemudian menaiki penerbangan terus Singapura-Ipoh.

“Ramai yang lebih selesa turun di Singapura terlebih dahulu sebelum ke Ipoh kerana ia menjimatkan masa perjalanan dan jika LTSAS dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik melalui projek naik taraf, ia akan lebih membantu.

“Jika ada perkhidmatan (menyediakan penerbangan antarabangsa serantau) terus ke Ipoh mungkin dari Hong Kong, Bangkok, Jakarta atau Manila, ia memberikan lebih keselesaan dan kemudahan kerana kami juga mempunyai ramai kakitangan kejuruteraan berasal dari Filipina dan negara berkenaan,” katanya.

155 dibaca
Berita Harian X