Selasa, 25 Jun 2019 | 3:37pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS),Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa di Sabah sasar 100,000 pengunjung

KOTA KINABALU: Jabatan Muzium Sabah menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung hadir sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2019, yang diadakan selama seminggu di negeri ini.

Sabah dipilih sebagai tuan rumah buat kali ketiga sambutan ini yang akan diadakan selama enam hari bermula 15 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, berkata sambutan kali ini akan disertai hampir semua muzium di negara ini termasuk dari luar iaitu Kalimantan.

“Pelbagai aktiviti diadakan sempena sempena sambutan itu antaranya pameran daripada muzium seluruh negara dan Kalimantan, seminar, permainan tradisional dan bengkel tarian Sumazau.

“Selain itu, turut diadakan antaranya bicara santai, larian muzium dan muzium bersama komuniti di Kampung Benoni, Papar serta cabutan tiket bertuah kepada pengunjung.

“Justeru, saya berharap orang ramai akan mengambil peluang ini datang beramai-ramai menyaksikan pelbagai pameran yang diadakan sepanjang program ini di Muzium Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.

Tema sambutan pada tahun ini ialah Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi.

Sepanjang sambutan itu, Muzium Sabah akan beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 10 malam.

Kamarul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan, berkata perasmian sambutan itu akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, di Muzium Sabah pada 15 Julai ini.

“Kita juga menjangkakan lebih 1,500 orang akan menyertai larian muzium yang akan diadakan di Kompleks Sukan Likas,” katanya sambil menambah terdapat lebih 230 muzium di seluruh negara setakat ini.

Mengenai pertemuan dengan Mohd Shafie, beliau berkata ketua menteri menekankan pentingnya Muzium Sabah berperanan untuk menyokong industri pelancongan melalui khazanah yang ada di negeri ini.

“Ini kerana Sabah mempunyai banyak flora dan fauna yang perlu dipromosikan kepada pengunjung,” katanya sambil menambah muzium di negara ini masih relevan dan jumlahnya sentiasa bertambah.

Berita Harian X