Selasa, 25 Jun 2019 | 3:29pm
PEMBANTU Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Assaffal Alian. - Foto Edmund Samunting

Insiden penculikan memberi kesan kepada ekonomi Sabah

PENAMPANG: Insiden penculikan di Lahad Datu yang mendapat liputan meluas mengakibatkan Sabah terpaksa menanggung kesan negatif.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Assaffal Alian berkata demikian merujuk kepada insiden penculikan 10 nelayan oleh lelaki bersenjata di perairan Lahad Datu pada Isnin lalu ketika perintah berkurung dikuatkuasakan.

Katanya, walaupun sembilan daripadanya sudah dibebaskan namun impak insiden itu masih memberi gambaran buruk kepada pelancongan di Sabah.

“Kes itu diperbesarkan sedangkan ia berlaku di luar kawasan perairan negeri ini. Mereka yang terbabit juga bukan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Amat menyedihkan apabila kita terpaksa menanggung kesannya,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri kementerian di Pusat Kebudayaan Penampang di sini.

Assafal berkata, beliau turut menerima aduan berhubung pembatalan tempahan oleh pelancong sebaik saja kejadian itu dilaporkan.

Assaffal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku yang tinggal di Lahad Datu memberitahu, daerah itu masih aman dan nelayan juga masih turun ke laut seperti biasa.

“Isu ini lebih kepada persepsi orang ramai, tetapi kita akan mencari penyelesaian bagi menangani isu ini.

“Antaranya ialah menukar istilah perintah berkurung kepada sesuatu yang mesra seperti peraturan waktu perjalanan,” katanya.

Sebelum ini, daerah Lahad Datu menjadi antara lokasi pelancongan yang mendapat perhatian global berikutan penemuan “The Blue Holes” di Darvel bay.

Kerajaan negeri juga mengumumkan kawasan sekitar 10,000 hektar yang merangkumi 50 pulau di sekelilingnya akan diwartakan sebagai kawasan perlindungan laut menjelang tahun 2023.

Mengikut laporan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, sehingga April lalu, ketibaan pelancong antarabangsa dianggarkan sebanyak 1.377 juta meningkat 9.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

115 dibaca
Berita Harian X