Selasa, 25 Jun 2019 | 3:12pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching 2019 di Kuching, malam tadi. - Foto Melvin Joni

Sarawak bangunkan lebih banyak rumah mampu milik

KUCHING: Lima kawasan di Kuching dan Lundu akan dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik yang baharu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata lima kawasan terbabit ialah Bako-Buntal, Sungai Maong-Segedup, Gita Baru, Kampung Senari dan Lundu-Sematan.

Beliau berkata, rumah mampu milik perlu dibina di lima kawasan itu bagi menampung penghijrahan penduduk dari luar bandar yang mencari rezeki di bandar raya ini.

“Rumah mampu milik menjadi keperluan bagi golongan penghijrah ini untuk menikmati kehidupan lebih selesa ketika mereka mencari rezeki di bandar.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei untuk menyukat tanah di lima kawasan itu untuk kita memulakan projek perumahan mampu milik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching 2019 di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, jalan raya menghala ke kawasan berkenaan juga akan dinaik taraf bagi memudahkan penduduk.

“Kita akan menyediakan infrastruktur serba lengkap untuk menjamin keselesaan penduduk di penempatan rumah mampu milik itu nanti,” katanya.

85 dibaca
Berita Harian X