Ahad, 23 Jun 2019 | 2:16pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) hadir pada majlis penyerahan Tanjung Adang Forest City dan Sambutan Aidilfitri di Surau Tanjung Adang di Iskandar Puteri, hari ini. - Foto Zain Ahmed

Zon penampan kawasan industri di Pasir Gudang perlu dikaji semula - EXCO

ISKANDAR PUTERI: Keperluan zon penampan industri yang lebih jauh jaraknya dengan penempatan penduduk khususnya di Pasir Gudang perlu dikaji dan distruktur semula.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga supaya tragedi pencemaran sisa kimia berbahaya seperti di Sungai Kim-Kim tidak berulang.

Katanya, kes terbaru di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Khamis lalu, perlu dijadikan iktibar kes pencemaran toksik boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Walaupun kes di Taman Mawar yang terletak kira-kira enam kilometer dari Sungai Kim Kim tidak besar dan punca sebenar belum diketahui, langkah berjaga-jaga perlu diambil.

“Sudah sampai masanya kerajaan Johor mengambil tindakan holistik dan menyeluruh untuk pastikan Pasir Gudang selamat diduduki.

"Memang sudah ada zon penampan berdasarkan kategori industri dari rendah (50 meter), sederhana (250 meter) dan zon penampan industri berat adalah sejauh 500 meter.

“Ini perlu kajian dan penstrukturan baharu kerana sekarang ini Pasir Gudang mempunyai banyak kawasan kediaman di sekitar kawasan perindustrian dan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan pelajar perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan Tanjung Adang Forest City dan Sambutan Aidilfitri di Surau Tanjung Adang di sini, hari ini.

Khamis lalu, 15 mangsa terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Agama Taman Mawar selain dua kakitangan sekolah itu, mengalami simptom sesak nafas serta muntah dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sementara itu, Dzulkefly berkata kawasan perindustrian Pasir Gudang adalah kawasan perindustrian terawal di negara kita, sekali gus memerlukan penggubalan beberapa prosedur operasi standard (SOP) kawasan perindustrian baharu yang lebih menyeluruh.

“Dulu tidak banyak kawasan kediaman di Pasir Gudang, namun sekarang taman perumahan lebih padat berikutan faktor pekerjaan yang tinggi di kawasan berkenaan, ” katanya.

192 dibaca
Berita Harian X