Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:31pm

Pulau Pinang rujuk Jawatankuasa Fatwa Negeri cadang bina LRT di masjid

GEORGETOWN: Kerajaan negeri akan sentiasa menghormati garis panduan Islam dengan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum membuat keputusan rasmi bagi pembinaan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jajaran LRT Bayan Lepas itu masih pada peringkat kajian dan lawatan tapak di masjid berkenaan hanya sebahagian daripada tinjauan awal.

“Pembinaan LRT masih belum dimuktamadkan dan ia dalam pertimbangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Ketika ini, cadangan jajaran LRT Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar itu dicadangkan APAD dan kerajaan negeri mengambil tindakan untuk mematuhi ulasan APAD,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa laporan di media sosial mendakwa jajaran LRT Bayan Lepas akan menjejaskan kawasan masjid dan tanah wakaf perkuburan di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.

Selain itu, beberapa gambar memaparkan kerja menanda lot dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan perkuburan berkenaan turut menimbulkan keresahan ahli kariah masjid dan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, jajaran LRT hanya dimuktamadkan selepas APAD memberi kelulusan bersyarat.

“Semua jajaran belum dimuktamadkan lagi dan selepas APAD beri kelulusan, kerajaan negeri akan mengadakan pameran awam selama tiga bulan untuk mengambil kira pandangan umum.

“Selepas itu ia akan dinilai semula dan dimuktamadkan. Kerajaan negeri akan pastikan semua sesi pembabitan orang awam dan pihak berkepentingan diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKR negeri, Shahabuddin Muhayidin berkata, kerja menanda lot tanah dilakukan pihaknya di kawasan masjid adalah sebahagian kajian awal.

Pembinaan LRT adalah sebahagian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang diumumkan kerajaan negeri pada 2015.

392 dibaca
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad
Berita Harian X